Dalam perniagaan takaful, pemahaman dari maksud ini merupakan satu agenda penting. Ia diterapkan kepada semua peserta yang mengambil perlindungan takaful untuk berniat ikhlas bagi saling jamin-menjamin di kalangan mereka ketika ditimpa musibah. Secara amnya, objektif dalam industri takaful sebenarnya mempunyai persamaan dengan industri insurans konvensional. Kedua-duanya merupakan instrumen untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik kerana ditimpa musibah. Secara jelasnya, kedua-dua instrumen ini merupakan satu cara yang moden untuk memindahkan risiko yang berlaku dan sudah menjadi kebiasaan, sesuatu ganjaran akan diberi kepada pihak yang sanggup menerima pemindahan risiko ini.
Objektif insurans dapatlah diungkapkan sebagai golongan ramai yang bernasib baik membantu golongan yang tidak bernasib baik. Sememangnya objektif tersebut adalah diiktiraf oleh Islam. Al-Quran dalam surah al-Maaidah, ayat 2, secara terangnya turut menyatakan galakan oleh Allah kepada manusia untuk mengamalkan sikap tolong-menolong, bermaksud:
- "Dan hendaklah kamu tolong menolong di atas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong di atas perkara dosa dan permusuhan".
Tanggal 15 Jun 1972 merupakan tarikh penting bermulanya pengumuman terhadap penerokaan dan kajian yang dibuat ke atas kontrak insurans konvensional. Pada tarikh tersebut, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam persidangan yang kelimanya telah memutuskan iaitu insurans nyawa sebagaimana yang dijalankan oleh syarikat-syarikat insurans yang ada pada masa ini adalah suatu muamalah yang fasid (rosak/tidak sah) yang tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam dari segi aqadnya kerana mengandungi unsur-unsur gharar (tidak ketentuan), maisir (judi) dan riba.